Politeknik Bagan Datuk telah ditubuhkan pada Disember 2016 dan beroperasi di bangunan di kampus sementara beralamat di Medan Niaga Lagenda Hutan Melintang, Perak . Politeknik ini melibatkan program berteraskan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Memulakan pengambilan kohort pertama bagi Program Diploma Senibina Kapal (DNA) pada 05 Jun 2017 dan telah mempunyai satu kohort kumpulan pelajar DNA. Program ini telah pun mendapat pengiktirafan Akreditasi MQA/ FA9485. Politeknik Bagan Datuk (PBD) adalah politeknik ke 35 yang ditubuhkan di negara ini. Dua Program yang akan di tawarkan pada tahun 2023 adalah Diploma Teknologi Kejuruteraan Pembinaan Marin (DCS) dan Diploma Teknologi Kejuruteraan Elektrik Marin (DSE) yang akan ditawarkan pada awal Sesi II 2023/2024 adalah amat bertetapan dengan kehendak negara dalam menyediakan akses kepada lepasan SPM melanjutkan pengajian dalam bidang teknologi maritim bagi mengisi tenaga kerja dalam sektor tersebut. Program pengajian yang ditawarkan telah dipastikan berkualiti melalui pengiktirafan akreditasi daripada MQA serta pensijilan EOMS ISO 21001:2018 oleh SIRIM Malaysia. Penubuhan Politeknik Bagan Datuk ini adalah berdasarkan keperluan negara terhadap modal insan yang berketerampilan dalam bidang teknologi kejuruteraan maritim yang meliputi kejuruteraan perkapalan, pelabuhan, pelantar minyak dan sebarang struktur berkenaan dengan laut. Asas penubuhan Politeknik Bagan Datuk ini adalah berdasarkan kepada Dokumen Rancangan Malaysia Ke-11 bagi teras memperkasa pembangunan modal insan untuk menjadi negara maju dan ia terus relavan dengan keperluan semasa negara sepertimana yang terkandung di dalam dokumen Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang meletakkan ekonomi pesisiran dan maritim sebagai salah satu daripada 15 aktiviti pertumbuhan ekonomi utama (Key Economic Growth Activities, KEGA). Selari dengan WKB 2030, Kerajaan Negeri Perak melalui Dokumen Draf Rancangan Struktur Negeri Perak 2040 juga telah menjadikan Daerah Bagan Datuk sebagai hub pembuatan industri maritim untuk pembangunan negeri Perak. Politeknik Bagan Datuk ke arah penjenamaan Maritime Technology Academy @ Politeknik Bagan Datuk (MTAc @ PBD) untuk digunakan sebagai satu jenama bagi menunjukkan keberadaan PBD dalam menerajui pendidikan TVET kepada lulusan SPM dalam bidang Teknologi Maritim khususnya kepada masyarakat di Bagan Datuk dan kepada rakyat seluruh negara secara keseluruhannya. Justeru itu penjenamaan ini adalah amat penting bagi menunjukkan keterlibatan PBD dalam merealisasikan hasrat kerajaan Negeri Perak.